Jauhari di sanubari anda...

"Andai Islam itu seperti bangunan usang yang hampir roboh, maka akan ku berjalan ke seluruh dunia mencari jiwa-jiwa muda. Aku tidak ingin mengutip dengan ramai bilangan mereka, tetapi aku inginkan hati-hati yang ikhlas untuk membantuku dan membina kembali bangunan usang itu menjadi sebuah bangunan yang tersergam indah" : Hasan al-Banna

 
AHLAN
KASYFUL QULUB


Get ISLAMIC-Graphics
TAQWIM HIJRAH
KALENDAR

Free Blog Content

DEMI MASA
PANGGILAN ILAHI
TAUTAN MAHABBAH
HIWAR

Free chat widget @ ShoutMix
.
JUMLAH PELAWAT
ONLINE
Bencana penyakit hasil kesilapan manusia di dunia
12 August 2009

Oleh Nik Salida Suhaida Nik Saleh

Umat Islam kena sentiasa beringat urus kehidupan, jangan berputus asa dengan musibah

SELEPAS beberapa kali diserang pelbagai jenis wabak, kini dunia bungkam dengan gabungan penyakit yang membentuk pandemik H1N1, selesema babi yang bermula di Mexico dan Amerika Syarikat, kini menyerang dunia menyebabkan beribu mangsa meninggal dunia. Semua orang risau, pelbagai langkah pencegahan dilakukan, ada yang dengan inisiatif tinggi, tidak kurang juga yang menganggap ia masalah remeh yang mustahil berlaku pada diri sendiri, sehingga apabila benar-benar diuji, barulah ada runtun di hati.

Sudah jelas dalam al-Quran dengan pelbagai peringatan kepada sesiapa yang kufur dan bermaksiat kepada Allah SWT. Balasan di dunia atau di akhirat tidaklah dapat dijangka, tetapi sebagai hamba lemah dan kerdil, semestinya kita sentiasa beringat dalam melakukan sesuatu perbuatan, bimbang jika menyalahi peraturanNya. Hari ini, kesilapan manusia dalam mengurus kehidupan dengan melanggar garis panduan yang ditetapkan oleh Allah SWT seperti yang terakam di dalam al-Quran menyebabkan ada antara kita yang terpaksa menanggung akibatnya.

Apa juga bencana yang berlaku kepada alam, kemalangan, perbalahan, permusuhan, hatta serangan wabak penyakit adalah kerana melanggar hukum Allah dan tabiat alam yang sepatutnya dipertahankan sebaik-baiknya. Hari ini, wabak selesema babi yang menular dengan pantas dan meragut nyawa adalah sememangnya wabak yang mudah berjangkit melalui sentuhan secara langsung dengan babi atau pemindahan virus selesema babi kepada manusia. Walaupun umat Islam tidak memakan babi atau terbabit secara langsung dalam menguruskan penternakan babi, virus yang menjangkiti manusia daripada babi boleh menyebabkan jangkitan antara manusia yang dijangkiti dengan manusia lain.

Hal ini tentulah amat mendukacitakan kita, kerana sebagai umat Islam, kita akur dengan larangan Allah SWT yang mengharamkan kita memakan bangkai, darah dan daging babi untuk menyelamatkan kita daripada penyakit berpunca binatang berkenaan.

Firman Allah SWT dalam Surah Al-Maaidah ayat 3 bermaksud: “Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai, dan darah, dan daging babi, dan binatang yang disembelih kerana yang lain dari Allah, dan yang mati tercekik, dan mati dipukul, dan mati jatuh, dan mati ditanduk, dan yang mati dimakan binatang buas, kecuali yang sempat kamu sembelih, dan yang disembelih atas nama berhala; dan (diharamkan) kamu mengundi nasib dengan anak panah. Yang demikian itu adalah perbuatan fasik.”

Hakikat yang perlu diyakini ialah bahawa setiap yang berlaku adalah ketentuan Allah SWT jua. Di dalam Surah Al-hadid ayat 22 Allah SWT berfirman yang mafhumnya: “Tiada suatu pun bencana yang menimpa di bumi dan (tidak pula) pada dirimu sendiri melainkan telah tertulis di dalam kitab (Loh Mahfudz) sebelum kami menciptakannya. Sesungguhnya yang demikian itu adalah mudah bagi Allah.” Justeru, umat Islam haruslah memahami bahawa kuasa Allah SWT sahajalah yang menentukan sesuatu itu berlaku walaupun apa jua usaha yang dilakukan atau tidak diusahakan kerana kekuasaan Ilahi melebihi kuasa yang lainnya.

Sering kali kita merasa beruntung dan bertuah dengan rahmat yang direzekikan oleh Allah SWT kepada kita, yang kadangkala datangnya tanpa disangka. Sesekali pula ada musibah yang berlaku disebabkan oleh diri kita sendiri, lalu, jika kita berputus asa, tentulah kita merasa malu jika tidak bersangka baik dan menyerahkan segala urusan yang tidak mampu kita lakukan kepada pemilik segala kejadian ini.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Hebat dan amat mengagumkan sifat orang beriman, semua urusannya memberinya kebaikan, dan tiada perolehinya kecuali dia adalah mukmin, iaitu apabila ditimpa bahagia dia bersyukur, maka ia peroleh kebaikan (hasil syukurnya dia), dan apabila ia ditimpa keburukan, ia sabar dan baginya kebaikan juga.” (Riwayat Muslim).

Yang boleh kita lakukan ialah yakin dan berdoa bahawa wabak yang melanda akan terhapus juga akhirnya dengan kuasa Allah SWT yang menjadikan sesuatu dengan sebab dan musababnya.

Penulis adalah Pensyarah Kanan,
Fakulti Syariah dan
Undang-Undang Universiti
Sains Islam Malaysia

posted by jauhar @ 11:37:00 AM  
Solat Di Mana Mana.....
11 August 2009













Solatlah anda di mana sahaja anda berada.... Jangan jadikan alasan yang remeh untuk meninggalkan solat.......

posted by jauhar @ 12:12:00 PM  
11 jenis manusia didoa malaikat

PERCAYA kepada malaikat adalah antara rukun iman. Ada malaikat yang ditugaskan berdoa kepada makhluk manusia dan sudah tentu seseorang yang didoakan malaikat mendapat keistimewaan.

Dalam hidup, kita sangat memerlukan bantuan rohani dalam menghadapi ujian yang kian mencabar. Bantuan dan sokongan malaikat sangat diperlukan.
Kali ini penulis ingin menyenaraikan antara jenis manusia yang akan menerima doa malaikat.

Ketika kita menghadapi masalah, kerumitan, keperluan dan bimbingan, bukan saja kita perlukan kekuatan doa dari lidah, tetapi juga sokongan malaikat.

Antara orang yang mendapat doa malaikat ialah:

  • 1. Orang yang tidur dalam keadaan bersuci.Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: “Sesiapa yang tidur dalam keadaan suci, malaikat akan bersamanya di dalam pakaiannya. Dia tidak akan bangun hingga malaikat berdoa: “Ya Allah, ampunilah hamba-Mu si fulan kerana tidur dalam keadaan suci.”
  • 2. Orang yang sedang duduk menunggu waktu solat.Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya: “Tidaklah salah seorang antara kalian yang duduk menunggu solat, selama ia berada dalam keadaan suci, kecuali kalangan malaikat akan mendoakannya: ‘Ya Allah, ampunilah ia. Ya Allah sayangilah ia.’”
  • 3. Orang yang berada di saf depan solat berjemaah.Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: “Sesungguhnya Allah dan kalangan malaikat-Nya berselawat ke atas (orang) yang berada pada saf depan.”
  • 4. Orang yang menyambung saf pada solat berjemaah (tidak membiarkan kekosongan di dalam saf).Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: “Sesungguhnya Allah dan kalangan malaikat selalu berselawat kepada orang yang menyambung saf.”
  • 5. Kalangan malaikat mengucapkan ‘amin’ ketika seorang imam selesai membaca al-Fatihah.Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya: “Jika seorang imam membaca…(ayat terakhir al-Fatihah sehingga selesai), ucapkanlah oleh kamu ‘aamiin’ kerana sesiapa yang ucapannya itu bertepatan dengan ucapan malaikat, dia akan diampuni dosanya yang lalu.”
  • 6. Orang yang duduk di tempat solatnya selepas melakukan solat.Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: “Kalangan malaikat akan selalu berselawat kepada satu antara kalian selama ia ada di dalam tempat solat, di mana ia melakukan solat.”
  • 7. Orang yang melakukan solat Subuh dan Asar secara berjemaah.Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya: “Kalangan malaikat berkumpul pada saat solat Subuh lalu malaikat (yang menyertai hamba) pada malam hari (yang sudah bertugas malam hari hingga Subuh) naik (ke langit) dan malaikat pada siang hari tetap tinggal.

    “Kemudian mereka berkumpul lagi pada waktu solat Asar dan malaikat yang ditugaskan pada siang hari (hingga solat Asar) naik (ke langit) sedangkan malaikat yang bertugas pada malam hari tetap tinggal lalu Allah bertanya kepada mereka: “Bagaimana kalian meninggalkan hamba-Ku?”

    Mereka menjawab: ‘Kami datang sedangkan mereka sedang melakukan solat dan kami tinggalkan mereka sedangkan mereka sedang melakukan solat, ampunilah mereka pada hari kiamat.’”

  • 8. Orang yang mendoakan saudaranya tanpa pengetahuan orang yang didoakan.Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: “Doa seorang Muslim untuk saudaranya yang dilakukan tanpa pengetahuan orang yang didoakannya adalah doa yang akan dikabulkan. Pada kepalanya ada seorang malaikat yang menjadi wakil baginya, setiap kali dia berdoa untuk saudaranya dengan sebuah kebaikan, malaikat itu berkata ‘aamiin dan engkau pun mendapatkan apa yang ia dapatkan.’”
  • 9. Orang yang membelanjakan harta (infak).Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: “Tidak satu hari pun di mana pagi harinya seorang hamba ada padanya kecuali dua malaikat turun kepadanya, satu antara kedua-duanya berkata: ‘Ya Allah, berikanlah ganti bagi orang yang berinfak…’”
  • 10. Orang yang sedang makan sahur.Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya: “Sesungguhnya Allah dan kalangan malaikat-Nya berselawat kepada orang yang sedang makan sahur.”
  • 11. Orang yang sedang menjenguk (melawat) orang sakit.Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: “Tidaklah seorang mukmin menjenguk saudaranya kecuali Allah akan mengutus 70,000 malaikat untuknya yang akan berselawat kepadanya di waktu siang hingga petang dan di waktu malam hingga Subuh.”

    Itulah antara mereka yang mendapat doa malaikat. Semoga kita termasuk dan tersenarai sama.

  • posted by jauhar @ 11:39:00 AM  
    9 Tips Hadapi Wabak Berjangkit

    Seperti yang diketahui penyakit selsema babi atau virus H1N1 telah menjadi wabak yang merbahaya. Negara kita telah menjangkau 32 orang mati yang disahkan . Malahan dalam berita ikhwanonline menyatakan kemungkinan virus selesema babi ini akan bergabung dengan virus selsema burung. Ia akan menjadikannya lebih merbahaya. Mudah-mudahan Allah menjauhkan kita dari perkara tersebut.

    Disini ada 9 perkara berkenaan dengan pandangan Islam terhadap penyakit berjangkit dan wabak ini seperti berikut :

    PERTAMA : Berlakunya jangkitan (infection) penyakit adalah diakui oleh Nabi SAW. Nabi SAW bersabda maksudnya :

    “Larilah dari orang yang berpenyakit kusta seperti kamu lari dari singa.” – Hadis riwayat Bukhori.

    Ini adalah suruhan Nabi SAW kepada umatnya, berhati-hati ketika bermuamalat dengan pesakit yang membawa penyakit yang boleh berjangkit.

    KEDUA : Penularan dan merebaknya penyakit memerlukan kepada syarat-syarat yang ketat. Oleh itu Nabi saw menafikan penularan ini:

    “Tidak ada jangkitan penyakit tanpa sebab.” – Hadis riwayat Bukhori.

    Setiap penyakit yang berjangkit ada cara-cara tertentu, ada yang berjangkit melalui makan dan minum, ada yang melalui darah dengan suntikan, ada yang melalui hubungan jenis dan sebagainya. Hadis menafikan jangkitan penyakit tanpa sebab dan dengan cara jangkitan yang sebenarnya.

    KETIGA : Dalam keadaan yang diperlukan, orang yang sihat boleh bersama pesakit dengan berserah pada Allah SWT. Jabir bin Abdullah r.a. telah meriwayatkan :

    “Sesungguhnya Rasulullah SAW mengambil tangan pesakit kusta (leprosy), lalu mengajaknya makan bersama dalam satu bekas. Nabi SAW bersabda : “Makanlah dengan nama Allah, berpegang teguhlah kepada Allah dan berserahlah pada-Nya.” – Hadis riwayat Tirmizi

    Oleh itu sesiapa yg bertanggungjawab untuk bersama pesakit yang berjangkit ini seperti pegawai dan petugas perubatan hendaklah yakin dengan Allah dan meminta perlindungan kepada-Nya.

    KEEMPAT : Pengasingan pesakit berjangkit dari orang-orang yang sihat (isolation).

    Nabi SAW bersabda yang bermaksud:

    “Pesakit yang berjangkit tidak boleh mendatangi orang yang sihat.” – Hadis Riwayat Bukhori

    Nabi SAW bersabda:

    “Bergaullah bersama pesakit kusta dengan jarak selembing atau dua lembing.” – Hadis riwayat Abu Nu’aim.

    Hadis-hadis ini menunjukkan bahawa perlunya pengasingan di antara orang yang sihat dengan pesakit yang berjangkit ini. Ini untuk mengelakkan jangkitan penyakit dan penularannya ke dalam masyarakat.

    Mazhab Maliki, Syafie dan Hambali menegah pesakit kusta dari bersama orang yang sihat.

    KELIMA : Kuarantin (quarantine) dalam Islam.

    Kuarantin adalah menghadkan pergerakan orang-orang yang sihat yang pernah bersama dengan pesakit yang berjangkit pada satu tempat dalam masa penyakit itu boleh berjangkit. Tujuan utamanya adalah supaya dapat mengelakkan dari penyakit berjangkit itu menular ke dalam masyarakat yang sihat. Walaupun mereka ini dilihat sihat tetapi ada kemungkinan penyakit sudah berjangkit kepada mereka dan gejala penyakit itu belum timbul kerana masih lagi di peringkat permulaan.

    Nabi SAW bersabda:

    “Taun (plague) adalah tanda kemurkaan Allah yang mana Allah menguji hamba-hamba-Nya. Apabila kamu mengetahui adanya penyakit itu di sebuah tempat janganlah kamu masuk ke tempat itu. Apabila kamu berada di tempat yang ada penyakit taun (atau penyakit berjangkit lain) janganlah kamu lari keluar darinya.” – Hadis riwayat Muslim.

    KEENAM : Syahid kepada orang yang mati kerana penyakit wabak (epidemics).

    Aisyah r.a. berkata:

    “Aku bertanya Rasulullah SAW tentang wabak taun. Baginda menjawab itu adalah azab yang Allah turunkan kepada sesiapa yang Allah kehendaki. Allah akan jadikan penyakit itu sebagai rahmat kepada orang-orang beriman. Tidak ada sesiapa yang terkena taun dan duduk tetap di negerinya dalam keadaan sabar, mengharapkan ganjaran Allah dan yakin ia adalah hanya ketetapan ilahi melainkan Allah akan memberinya pahala syahid.” – Hadis riwayat Bukhori.

    KETUJUH : Islam menggalakkan umatnya berusaha mengelakkan dari penyakit. Antara usahanya adalah tidak masuk ke tempat yang ada penyakit berjangkit atau wabak. Ini jelas apa yang berlaku kepada Saidina Umar r.a. ketika mana beliau hendak masuk ke dalam negeri Syam. Apabila beliau mengetahui di negeri Syam berlakunya wabak taun, dia berpatah balik dan tidak jadi masuk ke negeri Syam. Lalu Abu Ubaidah al-Jarrah r.a. berkata:

    “Adakah engkau cuba lari dari ketentuan Allah?”

    Umar menjawab:

    “Alangkah baik sekiranya kata-kata ini diucapkan oleh orang lain. Ya, kami lari dari ketentuan Allah kepada ketentuan Allah.” – Hadis riwayat Bukhori.

    KELAPAN : Doa Qunut Nazilah kerana wabak.

    Mazahab Syafie dan Hanafi berpendapat sunat qunut nazilah dalam solat untuk menghindarkan taun dan penyakit wabak yang lain. Mazhab Maliki mengatakan sunat solat bukannya doa qunut. Mazhab Hambali menyatakan bahawa tidak disyariatkan qunut untuk menghindarkan wabak kerana berlaku wabak taun pada zaman Saidina Umar r.a. dan beliau tidak qunut dan tidak menyuruh orang lain qunut.

    KESEMBILAN : Sengaja memindahkan penyakit berjangkit kepada orang lain.

    Menyebabkan kemudaratan kepada orang lain adalah perkara yang dilarang. Nabi SAW bersabda:

    “Janganlah menyebabkan kemudaratan kepada diri sendiri dan orang lain.” – Hadis riwayat Ibnu Majah.

    Persidangan Islam yang diadakan di Dubai pada tahun 1415 hijrah telah menyatakan bahwa senghaja memindahkan penyakit yang berjangkit seperti AIDS kepada orang lain adalah dosa besar dan berhak untuk mendapat hukuman yang berat. Perbuatan ini dianggap pembunuhan dengan sengaja yang mewajibkan qisas jika membawa kematian kepada mangsa.

    posted by jauhar @ 11:34:00 AM  
    Mahu Anak Lelaki atau Perempuan?

    Para ahli bahasa Arab menafsirkan ayat Mafatihul Ghaib yang terkandung alam surah Al-An’am 6 Ayat 59 yang bermaksud, “Dan pada sisi Allah lah kunci-kunci semua yang ghaib; tiada yang mengetahuinya kecuali Dia sendiri.”

    Terbuktilah dengan hasil kejadian janin dalam rahim ibu yang hamil. Siapakah yang menentukan jantina janin itu, sedang bentuk dan rupa benih adalah sama dan serupa. Mereka merumuskan pengertian “Mafatihul Ghaib” tersebut dengan pengalaman dan penyelidikan sebab terjadinya jantina, lelaki dan perempuan.

    Kesimpulannya: “Sel telur yang menghamilkan kerana masuknya ke dalam rahim dengan sperma lelaki bergerak dan berpindah randah. Kekadang letaknya disebelah kanan, kekadang di sebelah kiri. Bila sel telur terletak pada lambung kanan, maka akan lahir bayi lelaki dan sekiranya terletak pada sebelah kiri, rahim akan lahir bayi perempuan.”

    Menurut keterangan Dr. Muhammad Abdul Hamid (Mesir), pendapat ini diadakan percubaan oleh doktor-doktor Arab dan Inggeris. Hasilnya adalah 97% dari percubaan itu, hanya 3% yang gagal. Itu disebabkan kerana ketidak mampuan pihak wanita dalam melakukan secara teliti dalam mengetahui masa subur dan bulan kelahiran.

    Teori pembentukan jantina anak adalah seperti berikut.

    Caranya:

    1. Waktunya : Pada masa subur isteri kerana pada masa itu sel kelamin wanita dapat dibuahi sel kelamin lelaki.

    2. Caranya : Lakukan persetubuhan dengan sebaik-baik dan sempurna. Setelah selesai, isteri hendaklah tidur miring sampai bangun pagi. Jangan tidur telentang supaya letak air mani jatuh miring.

    3. Hasilnya : Bila ingin anak lelaki, miring ke kanan dan jika ingin anak perempuan miring ke kiri.

    Teori ini juga merupakan daya usaha dalam mencari sesuatu yang diingini, namun hasilnya di luar batas kemampuan manusia. Semuanya ditentukan Allah s.w.t. Namun kita digalakkan berikhtiar.

    Ada teori lain, satu pendapat Dr. M. Zaky Syafi’i Beyk dari Iskandariah (Mesir) yang menyatakan dalam bukunya “Al Azmatus Zaujiyah wa’ilajuha” – “Berilah isteri makan vitamin B semenjak mula hamil hingga 8 bulan setiap hari 3 kali – 2 biji sekali.

    Memakan vitamin B akan menambah kesihatan dan kesuburan apalagi bagi ibu yang mengandung. Bila isteri makan vitamin B sebagai penambah zat makanannya yang biasa setiap hari, maka bayi yang akan lahir kelak, insyaAllah lelaki. Teori ini amat praktis dan mudah dilakukan. Ianya bergantung kepada kita. Hasilnya akan dapat dirasai apabila telah mencuba

    posted by jauhar @ 10:39:00 AM  
    Gelagat Anakku Yang Comel....


    Lihatlah anakku yang comel ini.....






    posted by jauhar @ 10:21:00 AM  
    Persiapan Menyambut Ramadhan Karim
    09 August 2009

    RAMADHAN yang kita tangisi pemergiannya hampir setahun lalu kini bertandang lagi. Kita yang beriman dan yakin pada janji Allah menanti kehadiran bulan penuh berkat ini dengan pelbagai perasaan.

    Seronok dan bimbang. Seronok kerana diberi peluang berjumpa dan beramal dengan bulan yang penuh berkat. Bimbang kerana kurang yakin ibadat maksimum akan dapat dilaksanakan. Risau, takut amal tidak membuahkan takwa yang diharapkan.

    Sesungguhnya kelebihan dan keistimewaan Ramadhan bukan lagi satu rahsia. Allah sudah memilih daripada bulan ini satu detik paling bersejarah dalam kehidupan umat sejagat, iaitu detik turunnya kitab suci paling agung. Kitab yang diturunkan khusus untuk memimpin tangan manusia ke jalan yang benar.

    Ramadhan juga mencatat sejarah gemilang kemenangan golongan yang membawa panji kebenaran ke atas golongan mustakbirin yang mempunyai kekuatan material tiga kali ganda dalam Ghazwah Badar al-Kubra.

    Ketibaan bulan mulia penuh sejarah ini sewajarnya disambut dan diraikan dengan acara gilang-gemilang. Oleh itu, ketibaannya perlu disambut dengan beberapa persediaan yang cukup selain mengikhlaskan pengabdian kepada Pencipta Yang Maha Esa.

    Ketibaan sekali lagi Ramadhan, untuk kita memperbetulkan diri, meningkatkan iman dan mempersiapkan kekuatan serta bekalan. Seperti doa diajarkan Rasulullah SAW kepada kita. Apabila Rasulullah SAW melihat anak bulan Rejab, Baginda membaca bermaksud:

    “Ya Allah, rahmatilah kami dengan Rejab dan Syaaban, dan sampaikan kepada kami Ramadhan.” (Hadis riwayat at-Tabrani dan Ahmad)

    Betapa besar kurniaan Allah kepada kita pada Ramadhan, di mana Rasulullah SAW sudah mengajarkan kita berdoa supaya kita dihidupkan hingga sampai Ramadhan, supaya bulan itu dimanfaatkan untuk kita menjadi seorang hamba yang patuh kepada-Nya.

    Bagi pejuang spiritual, peluang mengecapi Ramadhan sememangnya ditunggu-tunggu. Apabila tamat Ramadhan tahun lepas, kita iringi pemergiannya dengan tangisan penuh ketakwaan dan air mata keinsafan.

    Bulan itu bukan sekadar nikmat, tetapi penuh ujian serta peluang melipat gandakan amal dakwah mendekatkan kita pada jalan Allah. Persediaan dan perancangan perlu dilakukan untuk memaksimumkan segala peluang pada Ramadhan ini.

    Kita maklum, sebarang amal kebajikan yang dilakukan akan diberi balasan berganda. Martabat pahalanya lebih tinggi jika ia dilakukan pada Ramadhan. Sunat diberikan pahala wajib, yang wajib digandakan dengan gandaan berdasar keredaan kurniaan Allah.
    Ketika Ramadhan menjelang, Rasulullah SAW bersabda bermaksud:

    “Wahai manusia, menjelang tiba bulan agong lagi berkat. Bulan yang di dalamnya ada satu malam lebih baik daripada 1,000 bulan. Sesiapa mendekatkan dirinya dengan mengerjakan amalan fardu, seolah-olah dia sudah mendapat 70 pahala fardu pada bulan lain. Sesiapa mendekatkan dirinya dengan amalan sunat, seolah-olah dia mendapat pahala amalan fardu pada bulan yang lain. Ia adalah bulan sabar iaitu bulan yang awalnya rahmat, tengahnya keampunan dan akhirnya selamat dari neraka.” (Hadis riwayat Ibn Khuzaimah)

    Antara persiapan yang perlu dilakukan menjelang Ramadhan ialah :

    Persediaan diri untuk berpuasa. Seminggu sebelum berpuasa kita dikehendaki mengurangkan kadar makanan kita dan lebihkan makan buah-buahan serta sayur-sayuran. Pastikan pembuangan air besar lawas.

    Memahirkan diri dengan segala rukun, sunat, harus, makruh yang berkaitan dengan puasa pada Ramadhan, sunat tarawih dan lain-lain lagi.

    Membiasakan diri bangun pada sepertiga malam untuk bertahajud, mendekatkan diri pada Allah. Sebagai persediaan membiasakan tarawih dan tahajud pada Ramadhan. Ramadhan adalah bulan rukuk dan sujud.

    Memperuntukkan beberapa jumlah wang untuk dijadikan sedekah jariah dan zakat fitrah. Bagi mereka yang sudah akil baligh, maka belajarlah membayar zakat fitrah sendiri.

    Rancang strategi tersusun untuk memperbanyakkan hafalan, bacaan, tadabbur, tadarrus al-Quran.

    Melatih dan membentuk diri bersifat mahmudah, sifat terpuji seperti sabar, membanyakkan senyuman kepada sahabat dan kerabat. Merendam sifat mazmumah, sifat keji seperti memfitnah, mengumpat dan mengata orang. Kurang bercakap lagha (merapu), tidak berbahasa lucah dan beruzlah jika berpeluang.

    Oleh itu, dengan persediaan ini kita sematkan azam masing-masing untuk mencantikkan dan sempurnakan amalan fardu yang wajib dan membanyakkan amalan sunat pada Ramadhan.

    posted by jauhar @ 11:53:00 AM  
    TENTANG SAYA

    Name: jauhar
    Home:
    About Me:
    See my complete profile
    VIDEO PILIHAN
    HALWA TELINGA
    DOA PILIHAN
    AKHBAR HARI INI
    Previous Post
    Archives
    PAUTAN
    MEDIA
    BLOG j-QAF
    APLIKASI DALAM TALIAN
    SAHABAT
    .::AL-SyaHaDaH::.
    © 2005 Jauhari di sanubari anda... Blogspot Template by Isnaini Dot Com