Jauhari di sanubari anda...

"Andai Islam itu seperti bangunan usang yang hampir roboh, maka akan ku berjalan ke seluruh dunia mencari jiwa-jiwa muda. Aku tidak ingin mengutip dengan ramai bilangan mereka, tetapi aku inginkan hati-hati yang ikhlas untuk membantuku dan membina kembali bangunan usang itu menjadi sebuah bangunan yang tersergam indah" : Hasan al-Banna

 
AHLAN
KASYFUL QULUB


Get ISLAMIC-Graphics
TAQWIM HIJRAH
KALENDAR

Free Blog Content

DEMI MASA
PANGGILAN ILAHI
TAUTAN MAHABBAH
HIWAR

Free chat widget @ ShoutMix
.
JUMLAH PELAWAT
ONLINE
Persiapan Menyambut Ramadhan Karim
09 August 2009

RAMADHAN yang kita tangisi pemergiannya hampir setahun lalu kini bertandang lagi. Kita yang beriman dan yakin pada janji Allah menanti kehadiran bulan penuh berkat ini dengan pelbagai perasaan.

Seronok dan bimbang. Seronok kerana diberi peluang berjumpa dan beramal dengan bulan yang penuh berkat. Bimbang kerana kurang yakin ibadat maksimum akan dapat dilaksanakan. Risau, takut amal tidak membuahkan takwa yang diharapkan.

Sesungguhnya kelebihan dan keistimewaan Ramadhan bukan lagi satu rahsia. Allah sudah memilih daripada bulan ini satu detik paling bersejarah dalam kehidupan umat sejagat, iaitu detik turunnya kitab suci paling agung. Kitab yang diturunkan khusus untuk memimpin tangan manusia ke jalan yang benar.

Ramadhan juga mencatat sejarah gemilang kemenangan golongan yang membawa panji kebenaran ke atas golongan mustakbirin yang mempunyai kekuatan material tiga kali ganda dalam Ghazwah Badar al-Kubra.

Ketibaan bulan mulia penuh sejarah ini sewajarnya disambut dan diraikan dengan acara gilang-gemilang. Oleh itu, ketibaannya perlu disambut dengan beberapa persediaan yang cukup selain mengikhlaskan pengabdian kepada Pencipta Yang Maha Esa.

Ketibaan sekali lagi Ramadhan, untuk kita memperbetulkan diri, meningkatkan iman dan mempersiapkan kekuatan serta bekalan. Seperti doa diajarkan Rasulullah SAW kepada kita. Apabila Rasulullah SAW melihat anak bulan Rejab, Baginda membaca bermaksud:

“Ya Allah, rahmatilah kami dengan Rejab dan Syaaban, dan sampaikan kepada kami Ramadhan.” (Hadis riwayat at-Tabrani dan Ahmad)

Betapa besar kurniaan Allah kepada kita pada Ramadhan, di mana Rasulullah SAW sudah mengajarkan kita berdoa supaya kita dihidupkan hingga sampai Ramadhan, supaya bulan itu dimanfaatkan untuk kita menjadi seorang hamba yang patuh kepada-Nya.

Bagi pejuang spiritual, peluang mengecapi Ramadhan sememangnya ditunggu-tunggu. Apabila tamat Ramadhan tahun lepas, kita iringi pemergiannya dengan tangisan penuh ketakwaan dan air mata keinsafan.

Bulan itu bukan sekadar nikmat, tetapi penuh ujian serta peluang melipat gandakan amal dakwah mendekatkan kita pada jalan Allah. Persediaan dan perancangan perlu dilakukan untuk memaksimumkan segala peluang pada Ramadhan ini.

Kita maklum, sebarang amal kebajikan yang dilakukan akan diberi balasan berganda. Martabat pahalanya lebih tinggi jika ia dilakukan pada Ramadhan. Sunat diberikan pahala wajib, yang wajib digandakan dengan gandaan berdasar keredaan kurniaan Allah.
Ketika Ramadhan menjelang, Rasulullah SAW bersabda bermaksud:

“Wahai manusia, menjelang tiba bulan agong lagi berkat. Bulan yang di dalamnya ada satu malam lebih baik daripada 1,000 bulan. Sesiapa mendekatkan dirinya dengan mengerjakan amalan fardu, seolah-olah dia sudah mendapat 70 pahala fardu pada bulan lain. Sesiapa mendekatkan dirinya dengan amalan sunat, seolah-olah dia mendapat pahala amalan fardu pada bulan yang lain. Ia adalah bulan sabar iaitu bulan yang awalnya rahmat, tengahnya keampunan dan akhirnya selamat dari neraka.” (Hadis riwayat Ibn Khuzaimah)

Antara persiapan yang perlu dilakukan menjelang Ramadhan ialah :

Persediaan diri untuk berpuasa. Seminggu sebelum berpuasa kita dikehendaki mengurangkan kadar makanan kita dan lebihkan makan buah-buahan serta sayur-sayuran. Pastikan pembuangan air besar lawas.

Memahirkan diri dengan segala rukun, sunat, harus, makruh yang berkaitan dengan puasa pada Ramadhan, sunat tarawih dan lain-lain lagi.

Membiasakan diri bangun pada sepertiga malam untuk bertahajud, mendekatkan diri pada Allah. Sebagai persediaan membiasakan tarawih dan tahajud pada Ramadhan. Ramadhan adalah bulan rukuk dan sujud.

Memperuntukkan beberapa jumlah wang untuk dijadikan sedekah jariah dan zakat fitrah. Bagi mereka yang sudah akil baligh, maka belajarlah membayar zakat fitrah sendiri.

Rancang strategi tersusun untuk memperbanyakkan hafalan, bacaan, tadabbur, tadarrus al-Quran.

Melatih dan membentuk diri bersifat mahmudah, sifat terpuji seperti sabar, membanyakkan senyuman kepada sahabat dan kerabat. Merendam sifat mazmumah, sifat keji seperti memfitnah, mengumpat dan mengata orang. Kurang bercakap lagha (merapu), tidak berbahasa lucah dan beruzlah jika berpeluang.

Oleh itu, dengan persediaan ini kita sematkan azam masing-masing untuk mencantikkan dan sempurnakan amalan fardu yang wajib dan membanyakkan amalan sunat pada Ramadhan.

posted by jauhar @ 11:53:00 AM  
TENTANG SAYA

Name: jauhar
Home:
About Me:
See my complete profile
VIDEO PILIHAN
HALWA TELINGA
DOA PILIHAN
AKHBAR HARI INI
Previous Post
Archives
PAUTAN
MEDIA
BLOG j-QAF
APLIKASI DALAM TALIAN
SAHABAT
.::AL-SyaHaDaH::.
© 2005 Jauhari di sanubari anda... Blogspot Template by Isnaini Dot Com